Wednesday, October 26, 2011

SYAHID BESAR & SYAHID KECIL

Mati syahid terbahagi kepada dua jenis, syahid besar dan syahid kecil. Syahid besar merujuk kepada seorang muslim yang meninggal dunia di medan perang ketikaberjuang membela Islam. Orang yang gugur syahid seperti ini jenazahnya tidak dimandikan, tidak dikafankan dan dikebumikan di tempat beliau gugur, iaitu dimedan perang itu sendiri.

Syahid kecil merujuk kepada seorang muslim yang meninggal dunia dalam keadaan dizalimi, keadaan mengerikan atau dalam keadaan sedang melakukan pengorbanan.Contohnya ialah meninggal dunia ditikam perompak, dihempap bangunan dan keranawabak penyakit. Orang yang meninggal dunia seperti ini jenazahnya diuruskanseperti biasa. Di Hari Akhirat kelak, mereka dihimpunkan bersama mereka yanggugur syahid di medan perang.

Semua syuhada’, sama ada syahid besar atau syahid kecil dikumpulkan bersama pada HariAkhirat kelak. Mereka mendapat kedudukan yang istimewa dan pahala yang banyak.Namun para syuhada’ ini berbeza-beza tingkatan mereka dengan yang gugur di medanperang berada di tingkatan yang lebih tinggi berbanding yang meninggal duniadalam keadaan dizalimi, mengerikan atau sedang melakukan pengorbanan. Olehkerana itulah dibezakan antara syahid besar dan syahid kecil.

Termasukdalam kategori syahid kecil ialah wanita yang meninggal dunia ketika sedanghamil atau ketika sedang melahirkan. Hadis-hadis yang menerangkan hal iniberstatus sahih. Para pembaca sekalian boleh merujuk kitab Shahih al-Targhib wa al-Tarhib,hadis no: 1394 & 1398.

Perkara penting untuk meraih darjat syahid kecil ialah redha ketika sedang menghadapi kematian. Ketika sedang sakratul maut, hendaklah redha, bahkan gembira kerana akan dapat berjumpa dengan Allah dalam suasana sebagai seorang syuhada’.Firman ALLAH dalam hadis qudsinya:

" KEIKHLASAN ITU ADALAH SUATU RAHSIA DI ANTARA-KU. 'AKU' TITIPKAN DIA KE DALAM HATI ORANG YANG 'AKU' CINTAI DI ANTARA HAMBA-KU."
(Sirrus Salikin hal.150)

Tuesday, October 25, 2011

Apa khabar jodohku?

Berat rasanya kelopak mataku untuk tertutup. Bagaimana dengan kamu?
Apa kamu selalu terbangun di sepertiga malam terakhir? .. dan apakah mulutmu terus menerus berzikir dimalam hari?

Jujur aku rindu kamu, wahai jodohku..

Tapi saat ini belum saatnya untuk kita bertemu, bukannya aku tak mahu, atau aku tak rindu. Tapi sememangnya kerana perjalanan kita masih panjang, dan masih banyak kewajipan yang harus kita penuhi saban waktu.

Kadang–kala aku berfikir, apa nanti saat subuh tiba kau akan membangunkanku? Mengajakku bertafakur dan bersujud kepada-Nya?

Berat hati ini menantikanmu, gelisah pula hati ini memikirkanmu.

Adakah kau selalu menghiasi langkahmu dengan kebaikan-kebaikan?. Apakah nanti saat zuhur tiba, kau akan meninggalkan kesibukanmu sementara, hanya untuk menghadapNya?

Jodohku, sihatkah kamu?

Kalau aku berada disampingmu saat ini, mungkin aku akan merawatmu dengan penuh kasih sayang.

Jodohku, sabar dan tenanglah..

Aku disini masih bersabar menanti mu. Janganlah hatimubersedih, senyumlah.. kerana aku yakin kebahagiaan akan selalu menyertai kita.

Jikalau detik ini hatimu sedang terluka, berwuduklah.. dan dekatkanlah dirimu kepada-Nya. Tetapi disini aku berharap agar kamu baik-baik saja.
Jodohku, aku rindu..
Bilakah kita akan bertemu?. Begitu banyak hal yang ingin ku ceritakan kepadamu. Begitu banyak pula harapanku untuk menantikan nasihat–nasihat mu.

Hati ini kosong, dan hati ini tak sabar menanti kehadiranmu yang kan membalut dan menyembuhkan luka dihatiku.

Jodohku..

Adakah kau juga rindu padaku?. Bagaimana dengan Quranmu?. Sudahkah kau baca diantara maghrib dan isyak?. Apa yang kau fahami dari surah itu?. Ceritakanlah kepadaku.. ingin aku mendengarnya.

.. Dan begitu juga dengan keluhanmu, aku sedia mendengarnya..

Apa perubahan yang kau lakukan dari hari ke hari?. Semakin baikkah?. Ketahuilah, ku hanya mengharapkan yang terbaik buatmu.

Jodohku..

Disetiap langkahku dan seusai solatku, ku bisikkan AL-Fatihah untukmu, agar kau selalu berada dijalan-Nya.

Bersabarlah sayang, waktu-waktu ini bukanlah waktu yang lama.. dan ingatlah sayangku, janganlah sampai dirimu tersalah memilih jalan.

Jodohku..
Nantikanlah diriku, dengan perbagai kebaikan yang nantinya akan membawa rahmat untuk kita dari-Nya.

Jagalah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama.. kerana aku mencintaimu secara tulus dan ikhlas demi-Nya.

Jodohku..

Bersiaplah kau untuk mencintaiku secara tulus dan redha menerima segala kekuranganku dan membenarkanku dikala aku salah.

Sayang, berusahalah membahagiakan orang tuamu .. dengan menjaga sikapmu dan tutur katamu. Aku yakin kau adalah seorang yang sabar, seorang yang cekal, seorang yang boleh membesarkan anak–anak kita kelak dengan penuh hikmah.
Ingatlah, jangan pernah dikau merasa keseorangan.. kerana aku disini masih setia menantimu.

Jodohku..

Seandainya siang sudah berlalu.. pejamkanlah matamu dengan buaian doa, dariku yang selalu kuhadiahkan untukmu.

Jodohku..

Ingatlah sayang, aku selalu ada untukmu..
Semoga kerinduanku ini akan terjawab, seiring berjalannya waktu.. dan semoga ALLAH yang maha Esa selalu membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Amin

Cinta Tertinggi



Dia perlukan ketenangan yang lebih. Allah sedang mengujinya.
Surah Toha itu dialun suaranya, gemersik memenuhi ruang biliknya. Surah kesenangan di kala gundah, surah kekuatan di kala susah.

“Ehem.”

Dan pembacaannya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh.
Farid Mursyidi sedang menyandarkan bahu pada bingkai pintu, dengan wajah dihiasi senyuman nakal.

“Nak apa?” Dia bertanya perlahan, sambil memusingkan seluruh tubuhnya, tetapi masih kekal bersila. Dia tahu, pastinya Farid perasan wajah monyoknya itu. Perlahan-lahan Farid mendekatinya.

“Masih bermasalah dalam membuat pilihan wahai sahabatku Syakir Muntasir?” Bahunya ditepuk, dan Farid kini bersila di hadapanya. Lutut bertemu lutut.

“Aku masyghul la. Keputusan yang sukar.” Syakir menggaru kepala.

“Istikharahnya macam mana?”

“Apa, kau ingat semua istikharah keluar mimpi bagi jawapan? Kalau macam itu  baik aku istikharah setiap malam periksa.” Syakir menjelirkan lidah. Farid seakan-akan tidak tahu bagaimana sistem istikharah yang sebenarnya berfungsi.

Farid tertawa senang. Bahu Syakir ditepuk beberapa kali. Mungkin memahami, sambil terkesan dengan canda tadi.

Istikharah bukanlah satu keajaiban untuk menggolekkan jawapan kepada kita.  Istikharah hakikatnya perlu diiringi usaha membuat kalkulasi yang baik. Tanda istikharah bukan semestinya mimpi, tetapi hakikatnya adalah ketenangan hati yang kuat apabila membuat keputsan.

“Aku nampak jalan ke sebelah B lebih benar dan aku macam lebih tenang ke sana.” Syakir melepaskan keluhan. Nampak bahawa Jalan B bukan jalan pilihan asalnya.

“Kau rasa, kalau kau pilih jalan B, jalan A akan hilang?”

Dan kini matanya dan mata Farid bertaut. Sengih kelat muncul pada wajah Syakir. “Lebih kurang. Kau tahu aku cintakan Humaira’ bukan? Aku hanya perlu tunggu dua tahun sahaja lagi.”

“Tapi pada masa yang sama, kau perlu berkahwin sekarang. Kau adalah orang yang siap, sudah bersedia, dan kau memang perlu kahwin. Kalau tak, resah gelisah tak berhenti. Fokus terganggu. Namun, memilih Anum Sakeena ada downsidenya.”

“Ada ‘banyak’ downsidenya.” Syakir menambah.

Farid pula yang menghela nafas kali ini. Ya, keputusan yang sukar.

“Kadang-kadang Syakir, walaupun kita ini manusia yang ikuti jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia bukan?” Farid menolak tubuh, bersandar pada dinding. Melunjur kaki, sambil memandang siling.

Jiwa Syakir seakan tercucuk dengan kalam itu. Dia melihat sahaja sahabatnya itu.

“Maksud?”

“Yalah. Kalau aku, aku akan biarkan sahaja Anum. Aku akan sanggup tunggu Humaira’. Aku sanggup menderita dua tahun, dari ambil risiko duduk dengan Anum. Tambahan, dalam posisi kau, aku cintakan Humaira’. Tinggal…” Kata-kata Farid terhenti. Dia melirik kepada Syakir.

Mata Syakir dan Farid bertemu. Syakir hanya diam. Ingin Farid menyempurnakan bicara.

“Tinggal kita tahu, Anum memerlukan bantuan kita, pertama. Kedua, dalam posisi kau, kita memerlukan kehadiran Anum yang sanggup berkahwin dengan kita sekarang. Ketiga, hajat Anum bukan hajat yang kecil, dan belum ada yang  sanggup membantunya, sedang kita telah terlanjur memikirkannya, tambah pula dalam posisi yang siap untuknya.”

“Kita? Kau ajalah yang pergi ambil Anum.”

Farid tertawa. “Kita di sini bermaksud kau lah. Aku mana mampu kahwin lagi. Kau dah mampu, tinggal kena tunggu sebab nak kejar cinta sahaja. Itulah yang aku kata, kita ini walaupun ikut jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia. Kita amat tahu relevannya hajat Anum, tetapi kita rasa sukar nak penuhi hajat dia, sebab hajat dia tak ada harganya di atas dunia. Hanya berharga di akhirat sana. Aku sebut kita, sebab kalau aku jadi engkau, aku sendiri jadi berat.”

Suasana bilik itu senyap sebentar. Seakan menunggu giliran, azan isya’ dari Masjid University of Yarmouk kedengaran. Azan mendayu-dayu, seakan waktu rehat dari perbincangan yang mengkusutkan itu.
Dunia dan akhirat. Orang-orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah pun, adakalanya masih tergari dengan dunia. Sedangkan, secara sedarnya, dia tahu apa pilihan yang patut dia lakukan.

Azan tamat. Doa. Mata Farid dan Syakir kembali bertemu. Masih senyap.

Perlahan-lahan Farid berdiri, dan mendekati Syakir. Bahunya disentuh lembut.

“Mungkin ada waktu itu, kita kena belajar untuk campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya. Kena berani buat leap of faith.”
Kemudian Farid bergerak keluar dari bilik. Pastinya hendak menuju ke masjid.

Syakir keseorangan.

Campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya.
 
*******

Namun Allah SWT menguji. Anum Sakeena dipercayai mempunyai Systemic Lupus Erythematosus atau SLE. Satu penyakit yang akan meragut nyawanya untuk satu jangka masa yang tidak lama lagi. Tetapi tiada siapa yang melihat Anum Sakeena bersedih hati atau kegelisahan. Dia seakan-akan manusia paling tabah yang berjalan di atas dunia ini. Dia tidak pula pulang ke Malaysia dan berhenti belajar seakan-akan dunia telah kiamat. Dia masih meneruskan kehidupan, studi dengan rajin, dan hidup dengan gembira.
Tetapi, ada satu perkara yang menggusarkan Anum Sakeena. Dan perkara itu tidak diceritakan kepada sesiapa, kecuali seorang manusia yang 
diyakininya dalam keadaan mampu, dan mungkin akan membantunya.

Itulah dia Syakir Muntasir. Pelajar Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu di University of Yarmouk. Satu angkatan dengan Anum Sakeena, tinggal Anum Sakeena mengambil pengkhususan Iqtisod Islami.

Syakir Muntasir sangat terkenal dengan manusia yang lebih tua dari usianya. Walaupun di luar Syakir kelihatan seperti manusia yang tidak peduli apa-apa, tetapi apabila keadaan memerlukan seorang Syakir Muntasir untuk serius, tiada sesiapa yang mampu menghentikannya. Fikirannya matang, fikrahnya jelas, disiplinnya tinggi, pandangannya jauh, dan dia seorang yang siap untuk memikul tanggungjawab yang besar, juga mampu menghadapi banyak dugaan kehidupan.

Dan Anum Sakeena amat pasti, Syakir Muntasir sedang mempersiapkan diri ke  gerbang perkahwinan, memandangkan ura-ura bahawa lamaran lelaki itu ditolak, atau lebih tepat lagi, ditangguhkan untuk diterima, telah tersebar dalam komuniti di sini. Perempuan itu nampaknya tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab pada ketika ini. Dua tahun dimintanya tangguh. Berita sebegini tidak sukar didapati, kerana Syakir Muntasir sangat terkenal di sini. Sama ada dia mendiamkan segala cerita di dalam tubuhnya seorang, atau cerita itu akan bergerak meliputi seluruh Jordan dalam masa yang sekejap sahaja. Dan Syakir Muntasir juga manusia, pasti paling kurang dia akan berkongsi masalah hidupnya dengan teman-teman karib.

Mendengar berita itu, Anum Sakeena terasa seakan-akan Allah membukakan jalan untuknya. Walaupun dia tidak tahu, apakah perancangan Allah SWT yang sebenarnya, namun nyatanya dia telah membuat kalkulasi dan merasakan inilah yang terbaik. Maka dengan berani, setelah mendapat izin ibu ayahnya, dia mewakilkan seorang senior tahun 6 Perubatan untuk menyampaikan hajatnya kepada Syakir Muntasir.

“Anum Sakeena ingin dirinya dikahwini Syakir Muntasir, kerana adalah satu hajatnya yang besar sebelum meninggalkan dunia ini dia meninggalkan satu saham akhirat yang besar untuk dirinya, dan meninggalkan satu hadiah yang besar untuk Islam di atas dunia. Itulah dia seorang anak. Anum Sakeena ingin ada cebisan dirinya, yang tinggal di atas dunia ini untuk terus memberikannya pahala, dan berjuang untuk Islam buat dirinya.”

Dan saban hari, Anum Sakeena berdoa agar Allah SWT memakbulkan hajatnya, atau memberikannya sesuatu yang lebhi baik.
Itulah hajatnya.

Dan bukan sebarang orang akan menyahutnya.
 
******

Syakir bangun dari pembaringannya malam itu. Saat dia yakin dan tenang dengan keputusannya. Saat dia membuat keputusan, untuk membuat satu anjakan paradigma, lompatan saujana yang akan mengubah lorong hidupnya.

Dia mencapai telefon bimbitnya. Ibu Humaira’ dihubungi.

“Ibu, Syakir rasa, Syakir nak buat keputusan ini.”

Dan hanya esak tangis sahaja kedengaran. Syakir tabah. Tidak tergugah.

Ummi Abahnya dihubungi. “Syakir nekad.”

Dan Ummi Abahnya tidak berkata apa-apa lagi. Menyokong, dan mendoakan.

Dia menggenggam erat tangannya. Keputusan yang berat. Tetapi hendak diluahkannya.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!

Mendail nombor terakhir. Kak Rasyidah, pelajar perubatan tahun 6 yang menghubunginya tempoh hari mewakili seorang Anum Sakeena.

“Akak, saya setuju. Sampaikan kepada Anum.”

Dan selepas itu dia terduduk.

“Aku telah membuat lompatan itu Ya Allah. Dan sekarang, aku serahkan diriku  sepenuhnya kepada Engkau. Sungguh, aku hanya hambaMu yang tidak mengetahui apa-apa. Membuat keputusan ini, sekadar ingin menghormati seorang mujahidah yang benar-benar mencintaiMu Ya Rabb. 
Nyatanya, aku sebelum ini tidak mencintaiMu sehebat Cintanya, yang walau matipun masih ingin terus berjuang untukMu.”
Bukan senang melepaskan apa yang selama ini dikejar. Bukan senang memilih sesuatu yang diketahui tidak lama lagi akan hancur. Bukan senang hendak mengenepikan pilihan sendiri, perasaan hati, untuk memilih sesuatu yang benar dan hakiki, kerna biasanya walaupun pilihan diri itu salah, itulah yang disenangi. Dan hari ini dia melakukan, apa yang ramai manusia tidak mampu.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia.

Air mata mengalir deras di pipi Syakir Muntasir malam itu.
 
******
 
“Sebenarnya, berapa lama lagi masa untuk awak hidup?” Soalan itu muncul dikala langit sedang indah ditemani bulan mengambang.
Anum menatapnya, dan tersenyum. “Tidak tahu. Tetapi doktor kata, boleh jadi  panjang sekiranya tidak melahirkan anak. Awak pun dah dengar nasihat doktor masa awal-awal teman saya buat pemeriksaan semula dulu, bukan?” Dulu. Macam telah lama. Sedangkan, mereka baru setahun berkahwin.

“Jadi, kenapa hendak melahirkan anak?”

Senyuman Anum melebar. Dan senyuman itu sangat-sangat indah. Bulan mengambng jua bukan tandingan. Nyata ini syurga yang berada di atas dunia. Dan Syakir merasainya.

“Awak sudah tahukan?”

Dan giliran untuk senyumannya pula memekar.

“Tidak takut?”

Anum menggeleng. “Sebab akhirnya, kita akan mati juga. Lebih baik mati meninggalkan sesuatu untuk akhirat kita, daripada mati tidak memberikan apa-apa.”

Tangan Anum dipegang erat. Dikucup. “Saya minta maaf.” Lembut Syakir bersuara.
Anum mengiring. Kerusi malas yang menjadi tilam pembaringan mereka kini berbunyi. Antara aktiviti kegemaran, berbaring di atas kerusi malas bersama-sama, sambil menatap bulan mengambang indah. “Kenapa nak minta maaf?”

“Sebab awal-awal dahulu, saya tidak mencintai awak. Saya sebenarnya ragu-ragu. Tetapi hari ini, saya rasa saya tidak sepatutnya ragu-ragu. 

Saya sepatutnya terus menyahut.” Syakir turut mengiring. Wajah mereka berhadapan.
Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Ummi Abah datang ke Jordan bersama  keluarga Anum, dan mereka berkahwin di Jordan. Saudara mara yang tahu, tidak ramai memberikan sokongan. Sebab semua melihat seakan-akan dia melemparkan diri ke dalam satu kecelakaan. Dia dihujani pelbagai tohmahan dari keluarganya sendiri yang tidak memahami. Abah dan Ummi pun tidak banyak membincangkan hal ini, kerana pada asalnya, Abah dan Ummi juga tidak berapa setuju. Tinggal keyakinannya sahaja yang akhirnya membuatkan tindakan itu mendapat restu.
Bukan satu keputusan yang mudah.

Hanya yang berani melepaskan segala-gala, dan percaya hanya padaNya sahaja yang mampu.
Tetapi hari ini, kepercayaan Syakir itu terasa seperti telah dibalas.

“Em, awak memang patut ragu-ragu. Bukan satu keputusan yang ringan. Dan saya yang patut minta maaf. Sebab saya macam dah hancurkan 
hidup awak. Awak tak berada di atas ‘track’ yang awak nak.” Anum mendekatkan wajahnya, hingga dahinya dan dahi Syakir bertemu.
Syakir menggeleng perlahan. Dahi mereka bergesel. “Ini memang bukan ‘track’  yang saya nak. Tetapi saya rasa, ini ‘track’ yang Allah nak, berdasarkan apa yang saya dapat bila bersama awak selama ini.”

Bayangkan, melihat bakal mayat yang langsung tidak seperti manusia yang berpenyakit maut. Hidupnya tetap ceria. Hidupnya tetap bersemangat dan gembira. Studinya terjaga, bahkan dijaga pula studi Syakir. Anum banyak memunculkan momen-momen indah. Program-program yang mengingatkan mereka berdua kembali kepada Allah SWT juga hangat dirancang oleh Anum. Rumah mereka seakan-akan bercahaya.

Baca Al-Quran sama-sama, malam Jumaat qiamullail bersama, Isnin Khamis puasa bersama, studi bersama-sama, keluar beriadhah di kala petang bersama-sama, pergi berziarah rakan-rakan bersama-sama, melaksanakan program dakwah dan tarbiyah bersama-sama. Dan banyak perkara lagi. Dalam semua itu, dia belajar daripada Anum.

Bagaimana walaupun tahu umur tidak panjang, kekuatan tetap mengisi kehidupan dan diri terus-terusan bergerak dengan cergas hidup sebagai hamba Tuhan. Tidak merungut menyumpah Allah SWT yang memberikannya penyakit itu. Tidak pula mengeluh. Tetapi apa yang dilakukan adalah, mencari segenap ruang dan peluang, mengisi hari-hari yang berbaki untuk menjadi bermakna. Bermakna kepadanya, dan kepadaNya.
Syakir Muntasir bersyukur. Dia tidak tahu bagaimana kalau dia terus menunggu Humaira’. Dua tahun bukan jangka masa yang pendek. Pasti pelbagai halangan, cabaran dan dugaan muncul. Namun memilih Anum, dua tahun itu tidak dilaluinya. Dia melalui saat-saat indah pada setiap masa.

Dia yang awal-awalnya serba salah, kini rasa tenang. Anum Sakeena, seindah namanya. Anum: Rahmat daripada Tuhan. Sakeena: Ketenangan.
Syakir berharap, ketenangan dan kebahagiaannya kekal.

Kekal…

Tiba-tiba terasa tangannya dipegang erat. Dia kembali ke alam realiti, dengan Anum di hadapannya.

“Awak, saya ada satu berita gembira sebenarnya malam ini.”

“Apa dia?” Bibirnya terhias dengan senyuman.

“Saya mengandung. Tiga minggu.”

Matanya membesar.

Kekal…

Itu mustahil bukan?
 
*******
 
Harinya tiba. Dan dia hampir sahaja tidak percaya semuanya berlaku dengan pantas.
Kini dia hanya berdiri, dan di hadapannya adalah sekujur mayat yang telah kaku. Minit-minit terakhir amat memeritkan hatinya. Kini air matanya menitik-nitik pada bayi lelaki yang sedang berada dalam gendongannya.

Semalam, Anum Sakeena selamat melahirkan anak. Namun akibatnya, kondiri kesihatannya merudum di tahap kritikal. Kerosakan pada organ dalamannya merebak dengan pantas akibat melahirkan anak. Satu perkara yang telah lama dipesan oleh doktor.
Beberapa bulan yang lepas, Doktor menasihatkan agar digugurkan kandungan untuk memanjangkan lagi nyawa Anum. Tetapi isterinya berkeras.

“Saya tetap akan mati juga!”

Dia sendiri, di dalam hati, inginkan Anum Sakeena hidup lebih lama. Dia bahagia dengan Anum. Dia rasa tenang dengan Anum. Tetapi melihat nekadnya isterinya, dan mengapa mereka berkahwin pada asalnya, membuatkan dia tidak pernah menyebut hajatnya itu. Dia menghormati cita-cita isterinya. Anum Sakeena terus mengandung hingga pada hari melahirkan anak mereka.

Sempat pula menduduki peperiksaan final pada tahun akhirnya, dalam keadaan sarat mengandung. Hari-hari sepanjang mengandung, dia tetap ceria, walaupun kandungan itu seakan bom jangka yang menandakan hari kematiannya.

“Awak tahu apa yang saya seronok?”

“Apa dia sayang?”

“At least, saya tahu bila saya mati. Boleh persiapkan diri habis-habisan.”

Anum menjawab dengan senyuman seakan-akan itu bukan satu musibah.

Ketika itu, Syakir Muntasir terpaksa meminta izin untuk ke tandas, dan menangis teresak-esak di dalam tandas keseorangan. Tersentuh.

“Kenapa awak tak pernah takut? Orang ramai takut mati.”

“Ah ah, takut buat apa? Pelik, kenapa mesti takut untuk balik kepada Yang Maha Mencintai kita?”

Tersentuh. Entah, hari-hari anak itu berada di dalam rahim Anum, terasa seperti saat kemuncak kehidupan seorang Syakir Muntasir. Matanya lebih terbuka. Dia lebih banyak belajar. Hatinya jadi lebih senang tersentuh. Dan pertama kali dia merasakan bahawa, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Langsung tidak punya tenaga, seakan itulah pertama kali dia menyedari kekerdilan dirinya terhadap Rabbnya.

“Nama dia, Mujahid Muntasir. Pejuang yang mendapat bantuan. Sebagaimana Syakir Muntasir, orang yang bersyukur yang mendapat bantuan.” Dia bersuara menamakan anaknya itu semalam, di hadapan Anum yang teramat lemah.

“Awak dapat bantuan apa?” Anum Sakeena yang pucat lesi ketika itu bertanya sambil tersenyum, walaupun senyumannya ketika itu kelihatan tawar kerana kepenatan dan menanggung kesakitan teramat.

“Allah beri bantuan, untuk saya pertingkatkan kehidupan dan pemikiran saya, dengan awak, sayang.” Jawapannya. Seikhlas hati. Tetapi itu tidak menyelamatkan nyawanya.

“Terima kasih sebab terima saya. Terima kasih, kerana merealitikan impian saya. Sekarang saya rasa sudah tiba masanya.” Anum dengan air mata meleleh, pagi tadi. Meragut segala ketenangan yang wujud di dalam jiwa Syakir.

Doktor memanggilnya masuk pagi tadi, dengan menggendong anak mereka, dia duduk di sisi perempuan yang dicintainya. Nyata, doktor memberikannya peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.

Dia tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya lebih deras dari air mata Anum.

“Anak Ummi, jadi saham akhirat Ummi ya. Mujahid, jadi Mujahid ya. Membesar  jadi anak yang soleh, da’ie yang baik, tewaskan jahiliyyah, dan bawa seramai mungkin manusia ke syurga Allah ya?” Tangan Anum yang terketar-ketar ketika itu, berusaha mengusap lembut bayi mereka.

“Saya cintakan awak Anum Sakeena.”

Anum ketika itu menggeleng. “Awak cintakan Allah, sebab itu awak cintakan saya. Lepas ini, kerana cintakan Allah itu, awak akan berkahwin dan mencintai pula perempuan yang lain. Sebagaimana kerana awak cintakan Allah, awak menerima dan mencintai saya. Awak, jaga diri ya?”

Akhirnya dengan lafaz syahadatain dan wajah penuh ketenangan seperti seorang pemenang, Anum menghela nafas terakhir sebentar tadi. Dan Syakir Muntasir kini sekadar berdiri di sisinya, bersama Mujahid Muntasir yang masih tidak mengetahui apa-apa.

Cinta inilah yang tertinggi.

Cinta kepada Allah, hingga merancang untuk beramal selepas kematian.

Cinta kepada Islam, sehingga merancang untuk terus menyumbang selepas kematian.

Cinta kepada orang sekeliling, hingga mendidik agar semuanya mampu terus bergerak selepas kematian.

Cinta yang sebenar, hingga mampu memutuskan segala gari dunia, yang mengikat pada tubuh hamba. Benar-benar seakan berdiri di atas jalan yang cerah, dan tidak berselirat dengan perangkap ke neraka.

Pada umurnya baru 23 tahun, Syakir Muntasir seakan-akan telah mendapat sesuatu yang besar. Dirinya seakan-akan seorang yang baru.
Teringat dia pada saat dia membuat keputusan ini. Keputusan yang mengorbankan rasa hati, untuk memenuhi rasa Ilahi. Dia melihat apa yang dia perolehi hari ini.

“Ya Allah, aku rasa bersyukur membuat lompatan itu dan mempercayaimu.”

Air mata Syakir Muntasir tidak berhenti.

Dan akhirnya Mujahid Muntasir terjaga, dan menangis.
 
******
30 tahun. 7 tahun telah berlalu.

“Tua dah kita ni ya?” Suara Farid menariknya kembali.

Syakir mengangkat sebelah kening.

“Belum cukup tua untuk berhenti bekerja sebagai hambaNya.”

“Tua yang itu, hanya di kala mati sahaja.” Farid tertawa.

“Dan ada orang, merancang bagaimana di kala ‘tua’nya, masih mampu menyumbang.” Syakir menghela nafas.

Dia dapat melihat Farid mengangguk perlahan. “Aku banyak belajar daripada dia. Nyata, dua tahun bersamanya adalah untuk menjadikan aku, aku yang hari ini.”

“Kita sama-sama belajar daripada dia. Semoga Allah rahmati dia di akhirat sana.” Farid bersuara, sambil terus memandang horizon.
Bunyi ombak menghempas pantai mengisi ruang senyap antara mereka.

“Abah, abah!” Satu suara memanggil.

Dia dan Farid sama-sama menoleh. Seorang anak lelaki berumur 5 tahun, comel, berlari-lari mendapatkan Syakir. Terus merebahkan diri dalam pelukan Syakir.

“Anak saudara pakcik nak apa dengan Abah dia ni?” Farid menggeletek. Anak itu tertawa.

“Mukmin cari Abang Mujahid sebenarnya. Kenapa tak nampak dia?” Dia bersuara comel.

“Ah, Abang Mujahid ada di sana.” Syakir menunjuk ke arah batu karang besar yang terdapat pada hujung tunjukannya.

Kelihatan seorang anak lelaki, berumur 7 tahun, bersila dengan tenang sambil menghadap laut, dengan Al-Quran di tangannya. Mujahid Muntasir, itulah namanya.

“Mukmin perlahan-lahan ya pergi pada Abang Mujahid.” Syakir mengucup ubun-ubun Mukmin. Mukmin Muntasir nama penuhnya.

“Em.” Mukmin terus berlari-lari anak ke arah Mujahid.

Farid dan Syakir sama-sama memandang ke arah anak itu berlari.

“Mujahid sedang ulang hafalankah?”

“Mungkin. Bayangkan, pada umur 3 tahun sudah fasih membaca Al-Quran, saat  anak-anak lain pelat untuk berbahasa melayu. Umur 5 tahun sudah menghafal 5 juzu’ Al-Quran, dan sekarang dia sudah hampir menghafal 30 juzu’.”

“Aku tahu. Dia juga nampak amat matang. 7 tahun, tapi macam remaja belasan tahun.”

“Genetik ibu dia agaknya.” Syakir tersengih. Teringat Anum Sakeena.

“Naa, tarbiyah sebenarnya. Kau pun cerita, macam mana Anum masa mengandung. Penuh penjagaan, penuh pengisian. Makanan dijaga, ibadah dipertingkat. Itu semua memberikan kesan.” Farid sekadar tersenyum.

“InsyaAllah, Mujahid ini pasti akan membesar menjadi seorang yang hebat nanti.”

“Macam Abah dia.” Farid menyiku Syakir. Syakir sekadar tertawa. Siapa tidak kenal Dr Syakir Muntasir hari ini di Malaysia? Antara orang terkenal yang memberikan motivasi kehidupan kepada masyarakat melalui pelbagai medium. Radio, televisyen, internet. Juga mempunyai Syarikat Consultancy Sakeena, yang giat memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti, juga keluarga-keluarga.

“Abang-abang sekalian, makanannya dah siap!” Satu suara lembut melaung.

Syakir dan Farid sama-sama menoleh ke arah suara itu.

Kelihatan Amalina, isteri Farid melambai. Di sisinya terdapat seorang anak lelaki. Anak itu bernama Hasyim Mursyidi. Berumur 4 tahun. Anak itu berdiri antara ibunya, Amalina, dan seorang lagi perempuan.

“Bidadari dah panggil, jom!” Bahu Syakir ditepuk. Mereka bingkas bangun.

Syakir dan Farid berjalan mendapatkan tiga manusia itu. Farid terus berpimpinan tangan dengan Amalina dan Hasyim. Manakala Syakir terus memaut pinggang perempuan yang lagi satu, sambil tersenyum senang.

“Mana Mujahid dengan Mukmin?”

“Itu. Kita kena pergi ambil mereka dulu. Jom?” Syakir menunjuk.

“Jom.”

“Gelaran Aisyah RH adalah Humaira’. Dan dia pernah lumba lari dengan Rasulullah SAW. Dare to race with me o Humaira’ Arisha?”
Terus Humaira’ Arisha berlari.

Game on Syakir Muntasir!” Humaira’ melambai tangan.

“Tak aci!” Syakir menjelir lidah, dan terus berlari mendapatkan Humaira’.

Nyata, selepas apa yang berlaku kepada Anum Sakeena, Humaira’ menunggunya. Bahkan tersentuh dengan Anum Sakeena, Humaira’ berhajat mencontohi perempuan itu. Yang telah berjaya melepasi sempadan cinta biasa.
Menjadikan cintanya cinta yang tertinggi dari segala manusia.

Syakir Muntasir tersenyum sendiri.

“Aku bersyukur dengan lompatan yang mengubah hidupku itu Ya Rabb.”
Lepaskan segala-gala, percayakan Dia!

Saturday, October 22, 2011

Rahsia Di sebalik bangun malam..

Setiap individu manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.Kesilapan yang kita lakukan kadang-kadang tidak terkira banyaknya,termasuklah kesilapan pada Tuhan,ibu bapa,guru dan sesama maklhluk di muka bumi Allah ini.Kesilapan yang kita lakukan khususnya pada Yang maha Esa,akan meninggalkan titik-titik noda hitam dalam hati hambaNya. Akibatnya kita kian leka ...dengan kemaksiatan yang dilakukan.Bagi individu yang terpilih,hatinya pasti terasa tidak tenang,kosong dan dahagakan sesuatu.Maka,mulakanlah langkah baru,muhasabahlah diri kita sebagai hambaNya.Bertaubatlah,kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita sebagai hambaNya.

Mulakannya dengan bangun di tengah malam.Di saat orang lain dibuai mimpi indah,mintalah petunjuk dan hidayah dari Allah S.W.T.Tunaikanlah solat taubat.Menangislah kepada Yang Maha Kuasa dan merayulah kepadanya.Berdoalah dengan penuh keikhlasan dan berazam tidak melakukan dosa yang sama lagi.Sesungguhnya Allah sentiasa membuka pintu keampunan kepada hambanya yang ikhlas berdoa

Keheningan malam itu dihiasi dengan zikrullah diiringi dengan tangisan keinsafan yang betul-betul membuai jiwa,terasa diri bersih ,suci,seolah-olah baru dilahirkan.Hati yang keresahan pasti menjadi tenang.Di dalam hadis Rasulullah S.A.W ada menyebut yang mana menerangkan tentang keutamaan solat malam iaitu:

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya;
"Solat yang paling utama selepas solat wajib iaitu qiamullail atau solat di tengah malam"
(Riwayat Muttafaqun Alaih)

Jika kita bangun di tengah malam kemudian berwudhu' untuk mengerjakan solat malam maka terhindarlah daripada gangguan syaitan yang sentiasa menggoda dan menghancurkan kehidupan kita.Ni'mat Qiamullail ini hanya dapat dirasakan oleh orang-orang yang beriman dan mengerjakan solat malam atau ibadah di keheningan malam.

Dari Abu Hurairah ra.Rasulullah S.A.W bersabda,Maksudnya;
"Syaitan mengikat pada tengkuk tiap-tiap orang di antara kamu ketika tidur dengan tiga ikatan(simpul).Setiap simpul ditiupnya dengan ucapan:"Bagimu malam yang panjang dan tidurlah dengan lena".Maka apabila ia bangun dan menyebut nama Allah,terlepaslah satu simpul,bila ia berwudhu',terlepaslah satu simpul lagi dan ketika ia mengerjakan solat,maka terlepaslah simpul yang terakhir,kemudian pada pagi hari ia semakin segar,bersemangat dan hatinya pun menjadi jernih.Jika tidak,maka di pagi hari jiwanya dilanda kebingungan dan malas untuk melakukan aktiviti" 

(Riwayat Muttafaqun Alaih)

Jadi jelaslah di sini betapa besarnya ni'mat di sebalik solat malam,saya berpesan pada diri sendiri dan sahabat2 semua, marilah kita sama2 berusaha untuk bangun beribadah di keheningan malam kerana ni'mat ketenangan amat besar dirasai pada saat itu anugerah dari Illahi kepada hamba-hambaNya yang terpilih..


Friday, October 7, 2011

Kisah Cinta Fatimah dan Ali r.a

Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah S.A.W. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia. Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah.

”Allah mengujiku rupanya”, begitu batin ’Ali. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibanding Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti ’Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara ’Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjangnya.Lihatlah juga bagaimana Abu Bakr berda’wah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam kerana sentuhan Abu Bakar; ’Uthman, ’Abdurrahman ibn ’Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti ’Ali. Lihatlah berapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, ’Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan ’Ali?Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaallah lebih bisa membahagiakan Fatimah.’Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin.

”Inilah persaudaraan dan cinta”, bisik hati ’Ali.
”Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.”

Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tapi, ujian itu bukan setakat disitu, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khatab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keislamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.

Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, ”Aku datang bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan ’Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?

Pada suatu hari Abu Bakar As-Shiddiq r.a. Umar Ibnul Khatab r.a. dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasul Allah s.a.w. duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasul Allah s.a.w. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq r.a “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”

Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a. Sewaktu Ali r.a. melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dgn tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya: “Anda datang membawa berita apa?”

Setelah duduk beristirehat sejenak Abu Bakar As-Shiddiq r.a. segera menjelaskan persoalannya: “Hai Ali engkau adalah orang pertama yg beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasul Allah s.a.w. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk mempersunting puteri beliau. Lamaran itu telah beliau semua tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t. Akan tetapi hai Ali apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakar r.a. mata Saidina Ali r.a. berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata: “Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang semulanya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”

Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Imam Ali r.a. Abu Bakar r.a. berkata: “Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”

Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a. berhasil mendorong keberanian Imam Ali r.a. untuk melamar puteri Rasul Allah s.a.w.

Beberapa waktu kemudian Saidina Ali r.a. datang menghadap Rasul Allah s.a.w. yg ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasul Allah s.a.w. menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”

Jawapan Nabi Muhammad s.a.w. itu belum memuaskan Ummu Salmah r.a. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?”

“Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad s.a.w.

Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salmah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saidina Ali r.a. kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu kubuka ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasul Allah s.a.w. Ia dipersilakan duduk di depan beliau. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.

Rasul Allah mendahului berkata: “Hai Ali nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!”

Mendengar kata-kata Rasul Allah s.a.w. yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata: “Maafkanlah ya Rasul Allah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Thalib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.

Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasul Allah adl tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasul Allah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?”

Ummu Salmah melanjutkan kisahnya: “Saat itu kulihat wajah Rasul Allah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Thalib: “Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?” .

“Demi Allah” jawab Ali bin Abi Thalib dengan terus terang “Anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yg tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.”

“Tentang pedangmu itu” kata Rasul Allah s.a.w. menanggapi jawapan Ali bin Abi Thalib “engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza wajalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salmah r.a.

Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dgn disaksikan oleh para sahabat Rasul Allah s.a.w. mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”

“Ya Rasul Allah, itu kuterima dgn baik” jawab Ali bin Abi Thalib r.a. dalam pernikahan itu.

Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab.

Cinta tak pernah meminta untuk menanti.
Seperti ’Ali.
Ia mempersilakan.
Atau mengambil kesempatan.
Yang pertama adalah pengorbanan.
Yang kedua adalah keberanian.

Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan, bahawa suatu hari, Fatimah berkata kepada ‘Ali:
“Maafkan aku, kerana sebelum menikah denganmu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” ‘Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan Siapakah pemuda itu”
Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah Dirimu”