Thursday, September 29, 2011

Jangan Sakiti Rasulullah..



SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” (Riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.
Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan
Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?
Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera
Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu’ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu ‘Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An’aam:131, al-Syu’araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.
Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An’aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn ‘Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta’dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-’Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum’ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.
Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.


Friday, September 16, 2011

Dalam Sujudku...

“Jika ia baik untukku, untuk agamaku, untuk kehidupanku, kehidupan sekarang, kehidupan yang akan datang, baik untuk duniaku, baik pula untuk akhiratku, baik untuk keluargaku, maka dekatkanlah untukku, mudahkanlah jalan ku...tapi jika ia tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk kehidupanku, kehidupan sekarang, kehidupan yang akan datang, tidak baik untuk duniaku, tidak baik pula untuk akhiratku, tidak baik untuk keluargaku, maka jauhkanlah aku daripadanya, hapuslah rasa yang mulai tumbuh di hati-hati ku, hapuslah ia dari pandanganku dari hatiku.
Jika ia bukan jodohku, bukan namanya yang tertulis dalam kitabku, maka jauhkanlah ia dariku, tapi jika ia jodohku, ia yang namanya tertulis dalam kitabku, maka dekatkanlah dgnku
Hati ini rapuh ya Allah, Engkau mengetahuinya dengan jelas..
Jangan biarkan hati ini hancur lagi dalam cinta yang sia-sia
Jangan biarkan aku terjerumus dalam perbuatan yang sia-sia
Perbuatan yang tidak Engkau ridhoi
Aku ingin mencintai sekali lagi saja
Mencintai seseorang karena Allah
Dia bener-2 yang mencintaiku karena Allah
Yang bisa menjadi imamku, guruku, sahabatku, suamiku, ayahku, pembimbingku,
Dia yang akan kujadikan dewa di dunia karena cintaku kepada Allah
Dia yang akan kulayani, kurawat karena cintaku pada Allah
Dia yang akan kuletakkan di atas kepalaku karena Allah
Pertemukanlah aku dengan sosok yang mencintaiku karena Allah
Ya Allah berikanlah aku keikhlasan dalam menerima dan menjalani setiap ketetapanmu
JAGALAH HATIKU YA ALLAH

Ya Allah Yang Maha Pengasih, Jadikanlah hitam ke putih tuk tentramnya hatiku...
Bantulah aku mengatasi hatiku
Janganlah Engkau jerumuskan aku setelah Engkau beri petunjuk

AMIN”

Thursday, September 8, 2011

Majlis Ta'lim Bulanan ...


Bertujuan memberi kemudahan kepada 
masyarakat Kuala Lumpur 
dan Selangor khususnya serta 
masyarakat Malaysia ‘amnya menimba 
ilmu ajaran agama Islam yang 
ditinggalkan dan diwasiatkan oleh
Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad.

Huraian dari buku-buku karangan beliau 

akan disyarahkan 
dalam Bahasa Malaysia.

Alhamdulillah pada hari Ahad 21 November 2010, 

Majlis Ilmu bulanan yang selama ini diselaraskan 
di masjid Baitul Aman, Jalan Damai, Ampang telah 
mengkhatamkan kitab 'Dakwah yang Sempurna 
dan Peringatan yang Utama' karangan 
Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad.  
Setelah dipimpin 
oleh Tuan Guru kita yang juga Sang Penterjemah 
buku ini kedalam Bahasa Malaysia, 
Syed Ahmad bin Semait hingga beliau wafat 
pada 15 Julai 2006, maka disambung dan 
dikhatamkan pula oleh murid beliau 
Ustaz Najmuddin bin Othman Alkhered.  
Semoga mereka dirahmati Allah s.w.t.
Majlis bulanan seterusnya akan mengabungkan 
dua kitab karangan Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad.  
Selepas solat Maghrib, sambungan huraian 
buku berjudul ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’ 
akan disyarahkan oleh Ustaz Ali Zainal Abidin Alhamid 
diikuti dengan permulaan huraian 
buku baru 'Penuntun Hidup Bahagia (Risalatul Mudzakarah)' 
oleh Ustaz Najmuddin bin Othman Alkhered selepas solat Isya'.  
Bagi mereka yang ingin memiliki senaskah buku ini, 
pihak kami akan mengedarkannya di majlis 
nanti dengan harga diskaun sebanyak RM 25.00 senaskah.
InsyAllah, majlis ini akan dilangsungkan 
seperti biasa pada Sabtu 24 September 2011 
mulai solat maghrib di Masjid Baitul Aman, 102, 
Jalan Damai di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 
Untuk maklumat, buku Nasihat Agama dan 
Wasiat Iman memberi bimbingan penting 
untuk mengenal ilmu-ilmu yang wajib dari 
akidah Islamiah dan hukumhakamnya, 
serta ciri-ciri akhlak dan budi pekerti yang mulia. 
Ia juga menunjukkan cara-cara berdakwah ke 
jalan Allah Ta'ala, dan menunaikan hak kewajiban 
terhadap agama Islam dengan berdalilkan 
ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis.
Seterusnya, gabungan dua judul buku 
Petunjuk Thariqat dan Penuntun Hidup Bahagia 
membicarakan cara orang yang memilih yang 
bersih dari yang kotor dalam mengarahkan 
diri menuju ke jalan akhirat.  Bahagian kedua 
membincangkan perbezaan takrif 'hidup bahagia' 
antara insan umum dan ahli tasawuf iaitu 
mereka yang menganggap hidup bahagia 
bererti hidup aman sentosa sesudah mati. 
Maka Itu adalah kebahagiaan yang hakiki.
Agar kita diberi anugerah dari Allah s.w.t. 
dan mengambil peluang untuk menghadiri 
majlis ini selaku pedoman perjalanan kita ke akhirat.

Jadual ini akan diulangi pada minggu 

ketiga atau keempat setiap bulan yang 
juga akan dimaklumkan pada majlis semasa. 



















Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir. 
Diminta Hadirin dan Hadirat mematuhi halal/haram, 
sunnah/makruh dan adab semasa didalam masjid. 





info ni ana ambil daripada                                          http://www.alhawi.net/announcements/MajlisTaalimBulanan 
..InsyaAllah semoga membawa manfaat kepada 
pencinta2 majlis Ilmu Rasulullah saw..