Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Buatmu,
Bakal isteriku...
Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang muslimah yang akan bersama-samaku membina Baitul Muslim sebagai melengkapi separuh daripada agama. Itulah dia hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.
Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar sentiasa menjadi muslimin yang sentiasa menjaga dari setiap aspek diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk bakal isteriku, iaitulah dirimu suatu hari nanti.
Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana perempuan kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana perempuan kerana aku tidak mahu mengenali perempuan lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan perempuan. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga. Akan aku palingkan wajahku daripada perempuan yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku.
Aku tidak ingin dipandang baik oleh perempuan. Biarlah aku hanya tampak kebaikan di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai perempuan sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan perempuan bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang perempuan yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.
Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?
Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Kalau aku tidak ingin kau memandang lelaki lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan perempuan yang baik menjadi isteriku, aku juga perlu menjadi lelaki yang baik.
Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang perempuan yang bakal menjadi isteriku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan perempuan lain. Perempuan itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan. Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang perempuan secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. perempuan itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘man intuition’ku yang mengatakan perempuan itu bukan kau.
Aku bukanlah seorang lelaki yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti lelaki lain, memiliki seorang muslimah solehah yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, bersamaku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah bidadari yang mampu mendebarkan jutaan lelaki untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi..
Aku akan berasa amat bertuah andai kau dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganku. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya kaulah yang ditakdirkan meniup semangat juangku, menghulurkan tanganmu untuk aku berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Dan kau kesat darah dari lukaku dengan tanganmu sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.
Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahan kita sekiranya harta itu membuatkan kita lupa pada tanggungjawabmu terhadap agama kita. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.
Dariku,
Bakal suamimu...
by- Seorang hamba Allah....
No comments:
Post a Comment